Assalamualaikum wrt wbr...
Sudah lama tidak menulis. Last entry pada Ogos 2008. Itu pun sekadar suka-suka sambil menyiapkan kerja kursus semasa menuntut ilmu di UKM dulu.
Hari ini tergerak untuk berkongsi sesuatu.
Nak dijadikan cerita, pagi ini aku terpaksa mengambil cuti rehat khas untuk membawa anak ketigaku ke klinik mendapatkan rawatan doktor. Badannya tiba-tiba panas semalam dan serangan asma kembali setelah lama tidak berulang. Macam-macam sebab yang ada difikiran. Akhirnya konsultasi doktor membuatkan ku sedikit lega. Kata doktor, mungkin dia penat dan tertekan. Minggu ini adalah minggu ujian di sekolah.
Teringat saya ketika dia berumur 8 bulan dahulu. Ketika itulah kali pertama dia diserang asma sehingga dimasukkan ke dalam wad kecemasan Hospital UPM Serdang. Perasaanku ketika itu hanya Allah saja yang tahu. Anak ketigaku ini memang agak berlainan sedikit daripada abang dan kakaknya yang sulung. Padaku dia agak 'struggled' diuji dari segi kesihatan.
Tetapi apa yang sebenarnya yang ingin kukongsikan kali ini bukan mengenai masalah kesihatan anak ini. Ada dialog antara kami pagi tadi yang amat menyentuh perasaanku sebagai seorang ibu.
Syuhada: Ummi tidak kerja hari ni?
Saya : Tidak. Ummi pun tidak berapa sihat (sambil pura-pura menggosok kepalaku)
Syuhada: Alamak, kesian Ummi... (dengan nada sedih). Mesti Ummi terjangkit daripada Syuhada. Sorry ya Ummi (dalam nada bersalah dan memelukku).
Masa itu hanya Allah saja yang tahu betapa terharunya aku. Dalam sakit begitu pun dia berasa bimbang tentang aku walhal akulah yang sepatutnya lebih bimbangkan tentang kesihatannya.
Ya Allah... Engkau kurniakanlah kesihatan tubuh badan dan akal fikiran buat anak-anakku dan kepada semua ahli keluargaku. Terasa betapa lemahnya diri ini bila memikirkan akan kebesaranMU ya Allah. Ampunilah dosaku ya Rahman ya Raheem ya Á'fu ya Kareem.