Pagi ini saya ingin berkongsi mengenai tafsir surah Ar Rahman (surah yang ke 55 dalam al Quran). Entah kenapa tiba-tiba tergerak hati nak membaca tafsir surah ini khususnya bila sampai bacaan pada ayat ke 9.
وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ - 55:9
And establish weight in justice and do not make deficient the balance(Ar Rahman, verse 9)
Dalam bahasa Melayu bermaksud :
Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang (Ar Rahman, ayat 9)
Jika kita sempitkan skop menimbang kepada menimbang barang dalam sesi jualbeli maka ayat ini sangat mudah untuk difahami.
Akan tetapi saya bukan seorang peniaga yang menjual barang (belum lagi jadi ahli yang aktif hehehe).
Saya mencari rezeki dengan menjual daya pemikiran saya bermodalkan ilmu yang dipelajari serta kemahiran berfikir samada untuk membuat keputusan atau membantu pelajar dan rakan sekerja menyelesaikan masalah.
Maka dalam hal ini, konteks timbangan yang bersesuaian bagi saya sekarang ialah pertimbangan akal fikiran berdasarkan ilmu dan set kriteria yang lazimnya telah ditentukan oleh pihak tertentu contohnya seperti rubrik soalan, set skema jawapan, kriteria penilaian dsb. Akhirnya hal ini membuat saya bermuhasabah diri.
Apakah saya telah melakukan proses menimbang dengan adil? Tanpa mengurangi walau sedikit pun? Kerna dalam ayat tersebut perkataan yang ditekankan ialah wa la tukhsiru al mizan- jangan mengurangi timbangan! Ini bermakna lebih timbangan tak apa. Tapi jangan sesekali kurang sebab ini dilarang atau ditegah sama sekali dalam Islam. Maknanya saya berdosa jika saya mengurangi timbangan.
Soalan saya pada diri saya sendiri- Apakah yang saya timbang selama ini, berdasarkan pengalaman sebagai seorang guru?
Jawapannya: Saya menimbang hasil kerja pelajar saya. Dan juga ada kalanya diminta menilai prestasi kerja rakan setugas saya yang lazimnya berdasarkan set-set kriteria yang telah ditentukan.
Alat pengukur atau penimbangnya apa? Otak saya dan juga akal dan pertimbangan saya dalam memberi markah itulah jarumnya; bukankah begitu? Bertepatan dengan kata orang "Bekerja guna otak" seperti yang selalu kita dengar. Tapi otak itu tidak akan dapat menilai dan memproses apa-apa pun jika tiada akal fikiran. Jikalau tidak, akan jadilah 'otak kosong' umpama alat penimbang tanpa jarum yang berfungsi.
Oleh itu, saya berfikir- apakah saya pernah tersalah dalam menimbang? Jika pernah, apakah kesalahan menimbang itu melebihi atau mengurangi daripada yang sepatutnya orang itu dapat?
Allahu.... semua persoalan itu membuat saya insaf.
Maka saya harus ingat selalu. Menimbang biar lebih, jangan sesekali kurang. Kerana jika kurang, hal itu bahaya bahkan mendatangkan dosa! Nauzubillah min zalik.
Jadi saya mengajak anda dan mengingatkan diri saya sendiri agar kita perhatikanlah pekerjaan kita khususnya berkaitan hal ini walau di sektor mana pun kita bekerja mencari rezeki. Jelasnya jika pertimbangan kita benar dan tidak mengurangi bahkan melebihi maka ia akan jadi pahala buat kita. Sebaliknya jika berlaku kesilapan dan kesalahan dalam menimbang maka perbetulkanlah dan mohonlah kita keampunan daripada Allah SWT semoga tiada dosa yang dicatatkan pada helaian buku amalan kita. Marilah kita berhati-hati agar alat penimbang kita tepat berdasarkan ilmu dan kemahiran yang kita ada dan tidak dirosakkan oleh penyakit seperti keruntuhan akhlak, korupsi dan diskriminasi.
Allahu a'lam bissawab. Allah lebih mengetahui segala perkara. Yang menulis ini bukanlah lebih baik daripada yang membaca melainkan kita sama-sama sentiasa muhasabah diri semoga kita mendapat ilmu dan petunjuk daripada Allah serta menyampaikannya pula kepada orang lain agar lebih bermanfaat buat kita hidup di dunia dan di akhirat. Aamiin.
No comments:
Post a Comment