Musim PKP begini rasa serba salah dibuatnya bagi seorang guru yang juga seorang ibu. Gambar kartun viral seorang ibu yang tengah memasak sambil memegang tab tu bukan tengah tengok resepi. Tapi dia tengah jawab soalan anak-anak muridnya secara online. Dalam masa yang sama si anak kecil pun bertanya minta bantuan selesaikan tugasan yang cikgunya bagi. Itu memang real. Tak kisah lah siapa creator kartun tu dan haters tak payah nak kecam dia sangat sebab perkara tu memang benar berlaku. Sekurang-kurangnya dia memahami keadaan semasa.
Ia buat saya berfikir. Bagaimana jika anak murid saya tak ada kemudahan seperti laptop dan printer di rumahnya? Okay mungkin ibu bapanya boleh bantu pinjamkan tab atau smartphone. Alhamdulillah, telco kita yang ada baik Celcom, Digi, Yes dll dah bagi 1GB free data sejak 1 April. Terima kasih buat PM kita yang prihatin. Tapi percayalah bukan semua isi rumah memiliki lebih daripada satu smartphone yang aktif.
Saya terharu dengan komitmen ibu bapa dan semangat anak-anak murid yang berusaha menyelesaikan tugasan secara online. Alhamdulillah walaupun return rate di bawah jangkaan saya tetap bersyukur kerana ada juga yang menghantar hasil tugasan anak untuk diperiksa. Minta maaf jika ada yang terlewat balas kerana saya juga manusia biasa.
Ramai yang menyangka kerja guru mengajar secara online lebih mudah. Hakikatnya tidaklah semudah yang ramai fikirkan. Antara cabaran pdp dlm talian ialah penggunaan data internet samada di pihak guru, murid atau ibu bapanya. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan murid berkeperluan khas di mana pelbagai bentuk bahan multisensori audio dan visual perlu dihasilkan. Dengan kata lain, ia memerlukan lebih banyak bahan bergambar berserta audio instructions untuk memastikan mesej dan isi kandungan pembelajaran sampai dengan mudah dan jelas. Semua itu memerlukan storan imej yang besar dan data yang banyak untuk melancarkan proses penyampaian kepada murid. Bayangkan jika anda hanya memiliki telefon kurang pintar tanpa storan data yang mencukupi. Sudah pasti tekanan menghantui sepanjang menjalani sesi pdp.
Apabila memberi maklumbalas ke atas kerja murid pula ia semestinya segera. Yang dihantar melalui media WhatsApp atau Telegram adakalanya diterima pada jam 10 malam. Kadangkala selang sehari setelah tugasan diberi. Namun atas dasar amanah dan tanggungjawab sebagai seorang guru maka dilayan seperti biasa sebagaimana murid-murid yang lain yang telah menghantar lebih awal atau tepat pada masanya. Apa yang penting ialah penghargaan terhadap usaha murid dan maklumbalas pada kadar segera.
Saranan saya buat rakan guru seperjuangan, berpada-padalah ketika memberikan kerja rumah atau tugasan buat anak-anak murid kita. Janganlah sampai berbelas muka surat dan pada aras yang di luar kemampuan mereka. Ada ibu bapa yang meminta tugasan untuk anaknya tak apalah kita layankan saja sebab itu hak dia. Mungkin sudah tiada idea untuk mengisi masa lapang anaknya dalam tempoh PKP ini maka kita bantulah kerana memang itu tanggungjawab kita sebagai guru. Dalam masa yang yang sama, kita tak mahu mewujudkan stress kepada sesiapa sehingga membebankan pula ibu bapa dan ahli keluarganya. Bersederhanalah dlm membuat apa-apa. Kita permudahkan urusan orang lain mudah-mudahan Allah permudahkan urusan kita pula. Aamiiin.
No comments:
Post a Comment